Friday, February 10, 2012

Selamat Tahun Baru 2012

2011 telah pun melabuhkan tirainya tatkala 2012 datang menjengah. Bagi kebanyakan kita, tentu banyak sekali perkara telah berlaku kini menjadi memori dan kenangan. Tidak boleh lagi melangkah ke belakang atau mengundurkan waktu, hanya menoleh sebagai teladan bagi yang baik dan sempadan bagi yang buruk.
Saya pasti, bagi tahun baru ini, kalian tentu mempunyai azam yang baru. Seringkali saya bermuhasabah diri, merenung kembali azam yang telah saya pasang setahun lalu. Adakah saya dapat capai segala azam yang saya target, sama ada hajat dan impian saya tercapai. Tup tup.. tahun baru menjengah lagi! Aduh, masih ada lagi azam tahun lepas yang belum tercapai. Akhirnya saya berazam bagi tahun 2012 ini, saya mahu mencapai semua azam yang tidak sempat saya capai pada tahun-tahun sebelumnya! Kalian juga harus memasang azam baru sempena tahun baru ini, dan pastikan ia bukannya angan-angan kosong sahaja.
Bercerita tentang tahun baru, sesi persekolahan yang baru juga telah pun dibuka. Rasa baru sahaja dapat bernafas lega selepas bertungkus lumus menduduki peperiksaan akhir tahun lepas, bukan ? Oh ya, tidak lupa ingin saya ucapkan setinggi-tinggi TAHNIAH buat pelajar-pelajar yang menduduki PMR pada tahun lepas. Hasil usaha titik peluh kalian dan guru-guru sekolah ini, kita telah mencapai kelulusan 99.57% dan 74 orang pelajar mendapat straight A's . Syabas diucapkan !
Bagi pelajar-pelajar tingkatan 1 yang baru memasuki sekolah ini, SELAMAT DATANG saya ucapkan. Kalian ibarat tiram di dasar laut yang akan kami jaga dan gilap sehingga menghasilkan mutiara yang bersinar kelak.